Ucapan Penghargaan YBhg Prof Datuk Dr khairuddin Ab Hamid menerusi email beliau kepada semua warga Unimas semalam:

Salam sejahtera dan salam persahabatan,

Saya pasti email saya kali ini tidak membawa sebarang kehairanan atau kejutan. Berita yang telah dihebah luas jelas mewartakan tamatnya khidmat saya sebagai Naib Canselor UNIMAS pada 31 Mac 2013. Cantik juga nombor ini, 310313 dan mudah juga saya ingat tarikh yang bersejarah dalam kehidupan saya ini.
Bersejarah kerana lima tahun rupanya berlalu dengan cepat dan kadang-kadang tanpa disedari. Begitu cepatnya juga tempoh saya sebagai Naib Canselor berlalu.

Saya merasa amat bersyukur kerana telah diberi kepercayaan dan amanah yang begitu besar serta mencabar untuk menerajui UNIMAS sebagai Naib Canselor yang ke-4. Saya lebih merasa amat bersyukur kerana mempunyai pasukan pengurusan dan semua peringkat staf yang begitu bersatu hati, komited dan berkhidmat dengan penuh semangat demi kecemerlangan UNIMAS.

Saya sering mengatakan bahawa saya bertuah kerana mempunyai rakan-rakan seperjuangan yang baik dan berbakat tinggi. Tanpa rakan semua, kita tidak akan dapat mencapai apa yang telah UNIMAS kecapi setakat ini. Kita harus berbangga kerana kini UNIMAS bukan sebuah universiti yang calang-calang, malah telah dikenali di serata dunia dengan pencapaian dan pengiktirafan dalam bidang akademik, penyelidikan dan kesarjanaan.
Terima kasih di atas kerjasama, sumbangan, pengorbanan dan komitmen rakan semua.

Saya telah cuba sedaya upaya untuk membawa UNIMAS ke tahap yang hebat dan dikenali di peringkat antarabangsa. Kita sama-sama telah membangunkan pelan strategik 2015 yang mana telah pun membuahkan hasil secara berperingkat dan terbukti dengan nyata.

Saya juga berbangga dan bertuah kerana mempunyai pelajar-pelajar yang beretika tinggi, mempamerkan semangat perpaduan yang tulin dan sentiasa mencorak UNIMAS sebagai universiti pilihan yang mereka banggakan.

Namun, saya hanya insan biasa yang tidak dapat lari dari kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, jika terdapat sebarang kesilapan dan kekurangan, maka saya menyusun sepuluh jari memohon maaf. Sesungguhnya tiada niat saya untuk menyentuh perasaan atau melakukan yang tidak baik kepada sesiapa. Kalau secara tidak sengaja saya telah melakukan sebarang tingkah laku dan keputusan yang tidak disenangi, maka sekali lagi saya memohon maaf.

Di peringkat peribadi pula, baharu saya sedar bahawa saya telah terlibat dalam pentadbiran dari mula penubuhan universiti tersayang kita ini selama hampir 20 tahun. Maka, sekarang dapatlah saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk memberi sumbangan sebagai pensyarah dalam pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan juga apa-apa tugas yang diperlukan oleh universiti. Saya akan memulakan tugas di Fakulti Kejuruteraan, dan saya juga bersedia memberi khidmat di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, ISITI/CoERI, CoERE dan di mana saja jika khidmat saya diperlukan.

Saya juga kini berkesempatan untuk memberi lebih sedikit masa untuk diri sendiri dan keluarga yang selama ini telah memberi saya sokongan dan pengorbanan yang tidak dapat saya balas semasa saya sibuk dengan urusan di UNIMAS. Saya bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana diberi ruang dan peluang ini.
Kepada rakan semua, saya harap kita teruskan perjuangan untuk mencapai visi dan misi UNIMAS. Jadikan universiti ini satu kebanggaan kita, masyarakat dan juga negara.
Saya doakan agar rakan semua akan beroleh kejayaan dalam apa sahaja yang diusahakan.
Salam hormat dari saya dan jumpa lagi dalam kapasiti saya yang berlainan.
Sekian.

"UNIMAS Cemerlang dan Gemilang"

Ikhlas dari saya,

Prof K

Comments

Popular posts from this blog

Demonstrasi menggunakan Automated External Defibrillator(AED) di CAIS

Online Database Training : CEIC

Bengkel Perlombongan Data Bibliografik Memberi Manfaat Kepada Pustakawan & Pembantu Pustakawan Di CAIS, UNIMAS